Seorang lagi Nabi Allah
yang diceritakan dari kecil di dalam al-Qur'an ialah Isa. Baginda diutus kepada
kaum Bani Israil dengan kitab Injil yang diturunkan sebelum al-Qur'an.
Di dalam al-Qur'an, Nabi
Isa disebut dengan empat panggilan iaitu Isa,Isa putera Mariam, putera
Mariam, dan al-Masih.
Ibunya seorang yang
sangat dimuliakan Allah. Dia memilihnya di atas semua perempuan di semua alam.
Firman-Nya, "Dan ketika malaikat-malaikat berkata, 'Wahai Mariam, Allah
memilih kamu, dan membersihkan kamu, dan Dia memilih kamu di atas semua perempuan
di semua alam'" (3:42).
Mariam, ibu Nabi Isa,
telah menempuh satu ujian yang amat berat daripada Allah. Dia dipilih untuk
melahirkan seorang Nabi dengan tanpa disentuh oleh seseorang lelaki. Dia adalah
seorang perempuan yang suci.
Kelahiran
Kelahiran Nabi Isa
merupakan suatu mukjizat kerana dilahirkan tanpa bapa. Kisahnya diceritakan di
dalam al-Qur'an. Di sini, ceritanya bermula dari kunjungan malaikat kepada
Mariam atas perintah Allah. Ketika itu, malaikat menyerupai manusia dengan
tanpa cacat. Kemunculan malaikat membuat Mariam menjadi takut lalu berkata,
"Aku berlindung pada
Yang Pemurah daripada kamu, jika kamu bertakwa (takut kepada Tuhan)!'
Dia (malaikat) berkata,
'Aku hanyalah seorang rasul yang datang daripada Pemelihara kamu, untuk memberi
kamu seorang anak lelaki yang suci.'" (19:18-19)
Pada ayat yang lain,
diceritakan bahawa malaikat yang datang itu telah memberi nama kepada putera
yang bakal dilahirkan. Nama itu diberi oleh Allah, dan dia (Isa) akan menjadi
terhormat di dunia dan akhirat sambil berkedudukan dekat dengan Tuhan. Ayatnya
berbunyi:
"Wahai Mariam, Allah
menyampaikan kepada kamu berita gembira dengan satu Kata daripada-Nya, yang
namanya al-Masih, Isa putera Mariam, terhormat di dunia dan di akhirat,
daripada orang-orang yang didekatkan." (3:45)
Kemudian Mariam bertanya,
"Bagaimanakah aku
akan ada seorang anak lelaki sedang tiada seorang manusia pun menyentuhku, dan
bukan juga aku seorang jalang?" (19:20)
Malaikat menjawab,
"Dia (Allah)
berkata, 'Begitulah; Pemelihara kamu telah berkata, 'Itu mudah bagi-Ku; dan
supaya Kami membuat dia satu ayat (tanda) bagi manusia, dan satu pengasihan
daripada Kami; ia adalah perkara yang telah ditentukan'" (19:21).
Maka lahirlah Isa putera
Mariam lebih enam ratus tahun sebelum Nabi Muhammad dilahirkan. Allah membuat
Nabi Isa dan ibunya satu ayat (tanda) bagi manusia, iaitu tanda untuk
menunjukkan kebesaran-Nya (23:50).
Allah juga menyatakan
bahawa Nabi Isa adalah seperti Adam, walaupun Adam diwujudkan tanpa ibu dan
bapa. Kesamaan mereka berdua adalah pada ciptaan. Kedua-duanya dicipta daripada
tanah (3:59). Itu
menunjukkan mereka adalah manusia biasa, kerana manusia dicipta daripada tanah.
Kerasulan dan Kenabian
Isa adalah seorang Nabi
dan juga seorang Rasul. Baginda dan beberapa orang rasul telah dilebihkan Allah
daripada rasul-rasul lain. Ada yang Dia berkata-kata kepadanya, ada yang Dia
menaikkan darjat, dan bagi Isa, Dia memberi bukti-bukti yang jelas serta
mengukuhkannya dengan Roh Suci. Firman-Nya:
"Dan rasul-rasul
itu, sebahagian Kami melebihkan di atas sebahagian yang lain. Sebahagian ada
yang kepadanya Allah berkata-kata, dan sebahagian Dia menaikkan darjat. Dan
Kami memberikan Isa putera Mariam bukti-bukti yang jelas, dan Kami mengukuhkan
dia dengan Roh Qudus (Suci)." (2:253)
Namun begitu, manusia
dilarang oleh Allah untuk membeza-bezakan antara para rasul dan Nabi. Larangan
itu berbunyi,
"Katakanlah, 'Kami
percaya kepada Allah, dan apa yang diturunkan kepada kami, dan apa yang
diturunkan kepada Ibrahim, dan Ismail, dan Ishak, dan Yaakub, dan puak-puak,
dan apa yang diberi kepada Musa, dan Isa, dan apa yang diberi kepada Nabi-Nabi
daripada Pemelihara mereka. Kami tidak membeza-bezakan seorang pun antara
mereka, dan kepada-Nya kami muslim.'" (2:136)
Akibat membeza-bezakan
Nabi atau Rasul dapat dilihat pada hari ini, iaitu Nabi Isa dipercayai oleh
sesetengah pihak sebagai Tuhan atau anak Tuhan, dan Nabi Muhammad, dianggap
macam Tuhan, yang berhak membuat hukum agama.
Ajaran
Oleh kerana Isa seorang
Nabi baginda diberi sebuah Kitab, Injil, yang mengandungi petunjuk dan cahaya
untuk menjadi pegangan Bani Israil. Selain menyuruh Bani Israil menyembah Allah
dengan mentaati Injil, baginda mengesahkan kitab Taurat yang diturunkan
sebelumnya. Dua firman Allah menjelaskannya di sini, berbunyi:
"Dan Kami mengutus,
menyusuli jejak-jejak mereka, Isa putera Mariam, dengan mengesahkan Taurat yang
sebelumnya; dan Kami memberinya Injil, di dalamnya petunjuk dan cahaya,"
(5:46) dan,
"Aku (Isa) hanya
mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.'" (5:117)
Turut disebut di dalam
Injil (dan Taurat) ialah berita mengenai kedatangan seorang Nabi berbangsa
Arab, atau ummiy (7:157),
dan janji dikurniakan Taman atau Syurga bagi orang-orang yang berperang di
jalan Allah (9:111).
Janji itu juga didapati di dalam Taurat dan al-Qur'an.
Ketika baginda diutus,
manusia sedang berselisih dalam hal agama. Maka kedatangannya adalah juga untuk
memperjelaskan apa yang diperselisihkan. Firman Allah:
"dia (Isa) berkata,
'Aku datang kepada kamu dengan kebijaksanaan, dan supaya aku memperjelaskan
kepada kamu sebahagian apa yang dalamnya kamu memperselisihkan; maka kamu
takutilah Allah, dan taatlah kepadaku.'" (43:63)
Baginda juga memberitahu
tentang kedatangan seorang rasul selepas baginda, yang namanya akan dipuji.
Ayat yang mengisahkannya berbunyi:
"Wahai Bani Israil,
sesungguhnya aku (Isa) rasul Allah kepada kamu, mengesahkan Taurat yang sebelum
aku, dan memberi berita gembira dengan seorang rasul yang akan datang selepas
aku, namanya ahmad (dipuji).” (61:6)
Pengikut setia
Seperti Nabi atau Rasul
yang lain, baginda mempunyai pengikut-pengikut yang setia dan juga yang tidak
setia atau yang menentang. Pengikut-pengikutnya yang setia percaya kepada Allah
dan kepadanya. Mereka adalah muslim. Firman Allah:
"Dan ketika Aku
mewahyukan pengikut-pengikut yang setia, 'Percayalah kepada-Ku, dan rasul-Ku';
mereka berkata, 'Kami percaya, dan saksilah Engkau akan kemusliman kami.'"
(5:111)
Pengikut-pengikut yang
setia pula menjadi penolong-penolong, bukan baginya tetapi bagi Allah. Firman-Nya:
"Berkatalah
pengikut-pengikutnya yang setia, 'Kami akan menjadi penolong-penolong Allah;
kami percaya kepada Allah, dan saksilah kamu akan kemusliman kami.'"
(3:52)
Begitu juga bagi
pengikut-pengikut setia Nabi-Nabi lain, termasuk Muhammad. Semuanya menjadi
penolong-penolong Allah, untuk melaksana dan menyampaikan mesej-Nya. Firman
Allah:
"Wahai orang-orang
yang percaya, jadilah kamu penolong-penolong Allah, sebagaimana Isa putera
Mariam berkata kepada pengikut-pengikut yang setia, 'Siapakah yang akan menjadi
penolong-penolong aku bagi Allah?' Pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Kami
akan menjadi penolong-penolong Allah.'" (61:14)
Walau bagaimana pun,
pengikut-pengikut Nabi Isa yang setia memerlukan bukti selanjut untuk
megesahkan kebenarannya dan supaya hati mereka menjadi tenteram. Untuk itu
mereka memohon sebuah meja hidangan dari langit. Kisahnya berbunyi begini:
"Dan apabila
pengikut-pengikut yang setia berkata, 'Wahai Isa putera Mariam, bolehkah
Pemelihara kamu menurunkan kepada kami sebuah meja hidangan dari langit?'
Dia (Isa) berkata, 'Kamu
takutilah Allah, jika kamu orang-orang mukmin.'
Mereka berkata, 'Kami
menghendaki untuk memakan daripadanya, dan hati kami menjadi tenteram, supaya
kami mengetahui bahawa kamu berkata benar kepada kami, dan supaya kami adalah
antara para saksinya.'" (5:112-113)
Justeru itu, Isa memohon
kepada Allah,
"Ya Allah,
Pemelihara kami, turunkanlah kepada kami sebuah meja hidangan dari langit, yang
akan menjadi bagi kami satu perayaan, yang pertama dan yang akhir bagi kami,
dan satu ayat (tanda) daripada Engkau. Dan berilah rezeki untuk kami; Engkau
yang terbaik daripada pemberi-pemberi rezeki." (5:114)
Allah mengabulkan
permintaannya. Lantas, meja hidangan yang turun menjadi satu lagi mukjizat bagi
Nabi Isa. Dan ia juga menjadi nama sebuah surah di dalam al-Qur'an, iaitu surah
kelima, al-Maidah.
Mukjizat
Selain daripada kelahiran
yang luar biasa dan meja hidangan, Nabi Isa telah dikurniakan dengan beberapa
mukjizat lain. Ayat berikut menjelaskannya:
"Ketika Allah berkata,
'Wahai Isa putera Mariam, ingatlah akan rahmat-Ku ke atas kamu, dan ke atas ibu
kamu, apabila Aku mengukuhkan kamu dengan Roh Qudus (Suci), untuk berkata-kata kepada
manusia di dalam buaian dan setelah dewasa ..... dan apabila kamu mencipta
daripada tanah liat, dengan izin-Ku, yang seperti bentuk burung, dan kamu
menghembuskan ke dalamnya, lalu jadilah ia seekor burung, dengan izin-Ku,
dan kamu menyembuhkan orang buta, dan orang sakit kusta, dengan
izin-Ku, dan kamu mengeluarkan orang yang mati, dengan izin-Ku' ..... lalu
orang-orang yang tidak percaya antara mereka berkata, 'Tiadalah ini, melainkan
sihir yang nyata.'" (5:110)
Tidak seperti kepercayaan
sesetengah orang iaitu Nabi Isa tidak wafat semasa disalib tetapi diangkat naik
ke langit. Sebenarnya, Nabi Isa telah wafat di bumi, namun bukan disalib.
Baginda telah wafat selepas peristiwa penyaliban ke atasnya di sebuah tempat
lain yang tidak diceritakan di dalam al-Qur'an. Besar kemungkinan baginda telah
melarikan diri dari tempat baginda dijatuhkan hukum.
Bukti yang menunjukkan
baginda telah wafat di bumi terdapat pada ayat-ayat berikut:
"Apabila Allah
berkata, 'Wahai Isa, Aku akan mematikan kamu, dan menaikkan kamu
kepada-Ku, dan Aku membersihkan kamu daripada orang-orang yang tidak percaya
.....'" (3:55)
"Dan aku (Isa)
seorang saksi ke atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah
Engkau mematikan aku, Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka;
Engkau saksi atas segala sesuatu." (5:117)
Akan tetapi, sebahagian
daripada kaum Bani Israil mengatakan bahawa mereka telah membunuhnya disalib.
Allah mengatakan yang sebaliknya pula. Apa yang berlaku hanya satu kesamaan
sahaja. Firman-Nya:
"ucapan mereka,
'Kami telah membunuh al-Masih, Isa putera Mariam, rasul Allah.' Tetapi mereka
tidak membunuhnya, dan tidak juga menyalibnya, tetapi hanya satu kesamaan yang
ditunjukkan kepada mereka. Orang-orang yang berselisih mengenainya benar-benar dalam
keraguan terhadapnya; mereka tidak ada pengetahuan mengenainya, kecuali
mengikuti sangkaan; mereka tidak membunuhnya, yakinlah." (4:157)
Setelah Isa wafat,
beberapa perkara telah berlaku. Pertama, orang-orang yang mengaku pengikut
baginda telah menubuhkan sistem berahib, atau berpaderi, atau sistem berulama
dalam agama. Sistem itu tidak dianjurkan oleh Allah. Firman-Nya:
"Dan rahbaniyah
(sistem berahib) yang mereka reka - Kami tidak menuliskan (menetapkan) untuk
mereka" (57:27).
Kemudian, antara mereka
bersetuju untuk mengangkat Nabi Isa sebagai Tuhan atau anak Tuhan, mungkin
kerana kelahiran yang luar biasa dan mukjizat-mukjizatnya. Mereka yang berbuat
demikian telah terpesong dalam kepercayaan lalu menjadi kafir. Firman-Nya:
"Merekalah
orang-orang yang tidak percaya (kafir), yang berkata, 'Sesungguhnya Allah, Dia
ialah al-Masih putera Mariam'" (5:17), dan
"orang-orang
Kristian berkata, 'Al-Masih ialah putera Allah.' Itu adalah ucapan daripada
mulut mereka, menurut ucapan orang-orang yang tidak percaya sebelum mereka.
Allah memerangi mereka! Bagaimanakah mereka dipalingkan?" (9:30)
Satu bukti telah
didatangkan Allah untuk menunjukkan kepalsuan kepercayaan mereka. Buktinya
adalah pada amalan memakan makanan, berbunyi:
"Al-Masih, putera
Mariam, hanyalah seorang rasul; rasul-rasul sebelum dia telah berlalu. Ibunya
seorang wanita yang benar; mereka berdua makan makanan. Perhatikanlah bagaimana
Kami memperjelaskan ayat-ayat kepada mereka, kemudian perhatikanlah bagaimana
mereka berpaling." (5:75)
Nabi Isa dan ibunya makan
makanan. Tetapi Tuhan tidak makan. Kalau Dia makan tentu Dia mempunyai sebuah
"pintu kecil" untuk mengeluarkan makanan yang tidak diperlukan lagi.
Tuhan tidak ada pintu tersebut seperti yang terdapat di bahagian belakang badan
manusia atau haiwan.
Sekiranya hujah itu
disampaikan kepada orang-orang yang mempercayai Nabi Isa itu Tuhan atau
anak-Nya, tentu mereka akan berpaling juga dan tetap dengan kepercayaan mereka.
Begitulah manusia dengan kepercayaan agamanya. Mereka lupa menggunakan akal.
Akhirat
Kepercayaan serupa itu
sungguh berat di sisi Allah sehingga Nabi Isa akan ditanya di akhirat. Baginda akan ditanya sama ada baginda telah
menyatakan bahawa baginda dan ibunya adalah tuhan-tuhan selain
daripada Allah. Pertanyaan-Nya berbunyi:
"Wahai Isa putera
Mariam, adakah kamu mengatakan kepada manusia, 'Ambillah aku dan ibuku sebagai
tuhan-tuhan selain daripada Allah'?" (5:116)
Nabi Isa akan menjawab:
"Kepada Engkau
sanjungan! Tiadalah bagiku untukku mengatakan apa yang aku tiada hak dengannya.
Jika aku mengatakannya, Engkau mengetahuinya, dengan mengetahui apa yang di
dalam jiwaku, dan aku tidak mengetahui apa yang di dalam jiwa Engkau;
sesungguhnya Engkaulah yang mengetahui yang ghaib." (5:116)
Jawapannya bersambung
lagi:
"Aku hanya
mengatakan kepada mereka apa yang Engkau memerintahkan aku dengannya:
'Sembahlah Allah, Pemelihara aku dan Pemelihara kamu.' Dan aku seorang saksi ke
atas mereka selama aku di kalangan mereka; tetapi setelah Engkau mematikan aku,
Engkau Sendiri adalah penjaga ke atas mereka; Engkau saksi atas segala
sesuatu." (5:117)
Nabi Muhammad juga akan
ditanya di akhirat atas sesuatu yang amat berat juga. Baginda ditanya mengenai
sambutan kaumnya terhadap al-Qur'an. Jawapan baginda berbunyi:
"Wahai Pemeliharaku,
sesungguhnya kaumku mengambil al-Qur'an ini sebagai suatu yang tidak
dipedulikan." (25:30)
Itulah yang berlaku pada
hari ini. Ajaran al-Qur'an tidak dipedulikan. Namun, masa masih ada untuk semua
kembali kepada ajaran al-Qur'an.
Sumber : Blog Kisah 25
Nabi
Tidak ada komentar:
Posting Komentar